Friday 1 November 2019

Esport FKE: Mobile Legends dan Counter Strike Global Offensives (CSGO)






Oleh: Mohd Amir Hamzah Ab. Ghani, Dr. Ilham Rustam, Fadhli Dzul Hilmi Mohd Fauzi, Abdul Hafiz Kassim, Dr Mohamad Yusof Mat Zin.
Hari sukan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) yang dianjurkan bersama kelab pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Kelab EESA (Electrical Engineering Student Association) dan unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada 10 October sehingga 19 October 2019 pertama kali mempertandingkan sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai esport. Sukan yang dipertandingkan kali ini hanya dua sahaja iaitu Mobile Legend (ML) dan Counter Strike Global Offensive (CSGO). Sukan ML bermula pada 15 October 2019 pada hari Selasa manakala CSGO berlangsung selama 2 hari iaitu pada 18 October dan 19 October 2019.
Sukan ML yang berlangsung mendapat penyertaan seramai 120 orang iaitu sebanyak 24 kumpulan daripada pelajar UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, Kampus Kuala Terengganu, Kampus Bukit Besi  dan juga pelajar  Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah. Pengurus acara diketuai oleh Mohd Amir Hamzah Ab. Ghani dan dibantu oleh pelajar FKE yang juga ahli EESA seramai 12 orang. Para peserta mula berkumpul di Dewan Aspirasi (DA) sejak dari pukul 7.30 pagi dan taklimat bermula pada 8.30 pagi kerana memberi laluan kepada perasmian Hari Sukan Negara dan pelepasan atlit lumba basikal Weather The Storm yang berlangsung pada hari yang sama.
Perlawanan peringkat kumpulan pada sesi pagi bermula jam 9 pagi berlangsung serentak sebanyak 8 perlawanan dan dipertontonkan di skrin besar DA menerusi projektor. Manakala perlawanan separuh akhir dan akhir berlangsung pada sesi petang bermula jam 2 petang. Perlawanan akhir diantara pasukan Team Joki dan Team Public dimana kedua-dua pasukan adalah wakil daripada pelajar UiTMCT Kampus Dungun dimenangi oleh pasukan Team Public. Johan membawa pulang pingat Emas, sijil dan juga hadiah wang tunai. Pingat Perak dimenangi oleh pasukan Team Joki dan Pingat Gangsa dimenangi oleh pasukan Google.
Sukan CSGO pula berlangsung di Makmal blok 14b2 dan 14b3 pada hari Jumaat dan Sabtu. CSGO mendapat penyertaan sebanyak 12 kumpulan daripada pelajar UiTMCT Kampus Dungun, Kampus Bukit Besi dan Kampus Kuala Terengganu. Jumlah penyertaan seramai 60 peserta dimana 1 kumpulan hanya dibenarkan 5 peserta sahaja. Pengurus acara diketuai oleh Dr.Ilham Rustam dan dibantu oleh Mohd Amir Hamzah Ab. Ghani serta urusetia pelajar EESA seramai 10 orang.
Perlawanan peringkat kumpulan berlangsung pada hari pertama bermula jam 8.30 pagi untuk sesi taklimat dan 9 pagi sehingga 12.30 petang untuk memberi laluan solat Jumaat. Perlawanan bersambung pada jam 3 petang dan tamat jam 6 petang. Hari kedua bermula dengan masalah teknikal dimana perlawanan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung jam 9 pagi terpaksa di tunda ke sesi petang pada jam 2. Ketiadaan elektrik disebabkan oleh penyelenggaraan menganggu susun atur perlawanan sehinggakan perlawanan akhir terpaksa berlangsung sehingga jam 7 malam. Perlawanan akhir di antara pasukan Rodong, wakil dari UiTMCT Kampus Dungun dengan pasukan Azure, wakil dari UiTMCT Kampus Kuala Terengganu. Johan dimenangi oleh pasukan Azure dan membawa pulang pingat Emas, sijil dan wang tunai. Pingat Perak dimenangi oleh pasukan Rodong dan Pingat Gangsa dimenangi oleh pasukan Glorious Death.

No comments:

Post a Comment