Monday, 12 March 2018

MISI AKADEMIK DI SEKOLAH MENENGAH SAINS DUNGUN


Disediakan oleh: Hasrul Hafiz Abu Bakar, Mohd Aldrin Ali, Haslizamri Md Shariff, Mohd Izzat Mod Arifin, Fadhli Dzul Helmi Mohd Fauzi, Abdul Hafiz Kassim.



    Pada 23 Ogos 2017 bertempat di Sekolah Menengah Sains Dungun Terengganu telah berlangsung Program Misi Akademik “Menjuruterakan Anak-Anak Bangsa” anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Terengganu Kampus Dungun. 
    Misi akademik ini dijalankan untuk memupuk minat pelajar Tingkatan 4 dan 5 aliran sains bagi mendalami serta meminati bidang kejuruteraan elektrik. Justeru, misi ini akan mempromosikan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM agar menjadi pilihan pertama ketika mengisi borang kemasukan ke universiti kelak.Objektif program ini adalah untuk membantu pelajar dalam memahami dan menguasai subtopik Elektrik dan Elektronik bagi subjek Fizik. Selain itu, memberi pendedahan kepada pelajar sekolah tentang Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan dengan ini dapat mempromosikan UiTM khususnya Kampus Dungun. Program ini juga dapat membina rangkaian dengan sekolah menengah aliran sains untuk kepentingan bersama seperti pertandingan inovasi. 
    Seramai 100 pelajar telah hadir bagi menjayakan program ini dan para pelajar menunjukkan minat yang mendalam setelah para pensyarah memberi taklimat serta motivasi bagi memupuk minat para pelajar didalam bidang kejuruteraan elektrik/elektronik. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pengetua SMSD iaitu Yg. Berbahagia Tuan Haji Aliziyad bin Abas dan turut diiringi oleh Penolong Kanan Puan Roslina bt Abdul Aziz. Tuan Pengetua sangat mengalu-alukan kedatangan pihak UiTM dimana telah termeterai memorandum persefahaman (MoU) sejak sekian alam antara UiTM dan SMSD. Tuan Pengetua juga mencadangkan program ini dijalankan secara timbal balik, dimana program seterusnya akan dilaksanakan di dalam kampus UiTM bagi mendedahkan para pelajar menengah atas tentang kehidupan serta pembelajaran di alam universiti. 
    Seterusnya, Encik Hasrul Hafiz bin Abu Bakar selaku Ketua Pusat Pengajian Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Terengganu telah merasmikan program Misi Akademik FKE-SMSD 2017 dan diteruskan dengan penyampaian cenderamata UITM kepada pihak pengurusan tertinggi SMSD. Encik Hasrul Hafiz juga memberi taklimat secara lengkap dan terperinci kepada pelajar SMSD tentang syarat kemasukan, program yang ditawarkan serta kelebihan yang ada di FKE UiTM. Tidak lupa juga, KPP memberi motivasi kepada pelajar tentang prospek kerjaya setelah bergelar seorang jurutera kelak. Seterusnya sesi soaljawab mendapat sambutan yang hangat dimana para pelajar banyak bertanyakan soalan tentang laluan kemasukan ke UiTM khususnya laluan untuk kemasukan ke diploma dan sehingga peringkat ijazah pertama/sarjana/phd. Encik Hasrul Hafiz mengingatkan para pelajar agar memenuhi syarat asas kemasukan agar pihak Unit Pusat Universiti (UPU) tidak menolak permohonan pelajar kelak. 
    Seterusnya bengkel Mathematical Thinking diteruskan dan disampaikan oleh En. Haslizamri. Bengkel ini berjaya menarik minat para pelajar untuk memahami ilmu matematik yang diperlukan oleh seorang jurutera kelak. Bengkel ini menekankan aspek penyelesaian masalah secara realisitik, rasional dan logik. Ia juga mampu meningkatkan keupayaan dan kemahiran pelajar berfikir aras tinggi. Program ini juga turut mendedahkan para pelajar tentang ilmu kejuruteraan elektrik dan elektronik. Para pelajar telah dipecahkan kepada 5 kumpulan (Latihan Dalam Kumpulan) dan diajar tentang asas elektrik dan elektronik mengikut silibus Fizik tingkatan 5. Seramai lima (5) orang fasilitator iaitu Encik Saiful Najib, Encik Fadhli Dzul Hilmi, Encik Muhd Azri Abdul Aziz, Encik Mohd Izzat dan Encik Hafiz Kassim telah membantu menjayakan slot LDK ini. Para fasilitator mengingatkan para pelajar supaya mengukuhkan asas kefahaman tentang subtopik ini bagi memudahkan mereka apabila memasuki alam universiti kelak. LDK ini telah membantu para pelajar meningkatkan kefahaman tentang subtopik elektrik dan elektronik dimana sebelum ini mereka kurang gemar untuk menjawab soalan elektif ini. 
    Diakhir program, pihak SMSD telah menyampaikan sijil penghargaan kepada fasilitator yang bertugas dan program ini telah tamat dengan jayanya pada jam 2 petang. Diharap program Misi Akademik ini menjadi pendorong untuk para pelajar meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi seterusnya memilih UiTM sebagai pilihan utama mereka.

No comments:

Post a Comment