Tuesday 3 November 2015

KAJIAN GETAH UNTUK KEGUNAAN INDUSTRI


Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama getah asli di dunia. Selain dari pada mengeluarkan getah asli, Malaysia juga telah berjaya menghasilkan produk-produk bermutu daripada getah seperti sarung tangan, tayar dan sebagainya. Menurut ASTM D1566-90 (1990), getah ditakrifkan sebagai bahan yang berupaya pulih apabila tekanan dikenakan kepadanya. Getah tidak larut tetapi boleh berubah apabila dicampurkan ke dalam pelarut seperti benzene dan metil etil keton.
Getah ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu getah asli dan getah sintetik (Hanafi 2004). Elastomer yang utama adalah getah asli. Getah asli merupakan suatu polimer hidrokarbon linear yang terdiri dari unit-unit isoprena (Ibrahim et al. 1995). Ia terdiri daripada unit-unit ulangan isoprena yang disusun secara kepala ke ekor (Brydson 1978).  Getah asli (NR) diperolehi dalam bentuk cecair likat yang dikenali sebagai lateks dan struktur rantaian polimernya ialah cis-1,4 poliisoprena (Mustaffa 1991). Cis-1,4 poliisoprena ialah satu rantaian panjang yang mempunyai berat molekul purata lebih kurang 5 x 10^5 g/mol. Lateks atau cis-1,4 poliisoprena dengan kumpulan sisi – CH3- ditempatkan hanya pada satu bahagian rantai polimer. Indek 1,4 menunjukkan unit-unit kimia yang berulangan pada atom karbon yang pertama dan keempat ikatan kovalen rantai polimer.
 Getah asli termoplastik (TPNR) merupakan bahan termoplastik yang disediakan melalui pengadunan getah asli dan bahan poliolefin. Terdapat dua kumpulan bahan-bahan plastik iaitu termoplastik dan termoset. Kedua-dua jenis plastik ini mempunyai sifat-sifat yang istimewa dan sering digunakan secara meluas dalam bidang industri. Bahan-bahan termoplastik boleh dilentur, dilembutkan dan boleh diproses berulang kali dengan mengenakan proses pemanasan dan tekanan. Daya antara rantaian molekul ini adalah daya van der waals yang lemah. Oleh itu, dengan mudahnya haba akan melemahkan daya di antara molekul dan menyebabkan bahan termoplastik menjadi lembut semula.
Getah asli termoplastik (TPNR) disediakan dengan pengadunan getah asli dengan poliolefin seperti polipropena (PP) dan polietilina (PE) (Ibrahim et al. 1995). Para penyelidik banyak melakukan penyelidikan bagi getah asli termoplastik dengan pelbagai getah asli dan poliolefin seperti NR/HDPE, NR/LDPE dan NR/PP (Sahrim et al. 1994). Mengikut kajian yang telah dijalankan oleh Sahrim et al. (1994) mendapati bahawa sifat-sifat mekanik yang baik dapat dihasilkan dengan komposisi NR/HDPE : 60/40.
Getah asli termoplastik dijangka dapat bersaing dalam pasaran getah kerana getah asli termoplastik mempunyai banyak kelebihan seperti (Elliot 1987):

               i.          Kos pengeluaran yang rendah berbanding getah pemvulkanan.
              ii.          Mempunyai kerintangan terhadap larutan asid, bes dan garam.
             iii.          Harga yang lebih rendah berbanding poliuretana.
            iv.          Bahan serpihan yang boleh diproses semula.
              v.          Mempunyai kebolehan untuk melentur pada suhu rendah



RUJUKAN

ASTM D1566. 1990. American Society for Testing and Materials. Philadelphia, PA.

Brydson, J.A. 1978. Rubber chemistry, London. Applied Science. Publisher Ltd.

Elliot, D.J. 1987. Commercial prospects of thermoplastic natural rubber Malaysian Rubber Producers Research Association, Hertford, United Kingdom.

Hanafi, I. 2004. Komposit polimer diperkuat pengisi dan gentian pendek semula jadi. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Ibrahim, A., Sahrim, A. & Che Som, S. 1995. Blending of natural rubber with linear low-density polyethylene. Journal Applied Polymer Science 58: 1125-1133.

Mustaffa Hj Abdullah. 1991. Sains Bahan Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

.Sahrim, A., Ibrahim, A., Che Som, S., Kohiya, S. & Yoon, S.R. 1994. Natural rubber-HDPE blends with liquid natural rubber as a compatilizer. I. Thermal and mechanical properties. Journal Applied Polymer Science  51: 1357-1363.



Disediakan oleh:
Nurul Huda Kamarulzaman

2 comments: