Friday, 6 March 2020

Pelaburan Saham: Kenapa Tidak Cakna?

Perkongsian ini adalah atas dasar kesedaran selepas menyertai Seminar Labur Saham oleh Asri Ahmad Academy dan kebanyakan maklumat adalah daripada sumber Tuan Haji Asri Ahmad.


Apakah reaksi kita apabila mendengar tentang pelaburan saham? Malas ambil pusing kan? Sebab apa tak nak ambil tahu? "Tak pandailah nak main saham…" "Saham kan untuk orang-orang kaya..." "Orang kata saham boleh bangkrap..." "Tak sempatlah nak main-main saham ni..." "Eh, saham kan haram!!!" Tahukah anda, Bursa Malaysia telah wujud sejak 1960? Sebenarnya ia telah pun bermula lebih awal lagi sebelum Singapura keluar dari Malaysia. 

Kenapa perlu cakna dengan ilmu pelaburan saham? Sesuai dengan kempen BMF yang sedang hangat kini, cara yang terbaik bagi umat Islam Malaysia menguasai ekonomi adalah melalui pelaburan saham. Dengan pelaburan saham, secara tidak langsung kita memiliki syarikat tersebut. Tahukah anda pemilikan bumiputera dalam Bursa Malaysia hanyalah 4%? 

Berikut adalah alasan-alasan mengapa kita buta dalam ilmu pelaburan saham:

1. Tiada Ilmu
Bagi saya yang pertama adalah tiada kesedaran. Disebabkan tiada kesedaran, sudah pasti tidak akan menggali ilmunya.  Apabila tiada ilmu, maka tidak mahu ambil tahu langsung. Terus-terang saya isukan di sini, kenapa perkara sepenting ini tiada pihak yang mewar-warkannya dengan lebih agresif lagi ke kampung-kampung atau kawasan luar bandar malah sekolah dan universiti untuk menyedarkan kita berkenaan peri pentingnya pelaburan saham terutamanya daripada pihak kerajaan?

2. Modal besar
Kedua, mentaliti kita yang mengatakan pelaburan saham memerlukan modal yang sangat besar. Paling kecil pun mungkin mencecah RM10K! Manalah nak cari sebanyak tu kan? Memang tidak dinafikan; lagi besar modal, lagi besar pulangan. Namun, perlu diingat, pelaburan saham ini tidak menjanjikan bulan dan bintang. Pelaburan yang menjanjikan bulan dan bintang adalah pelaburan yang menipu/scam. Saham ini adalah perniagaan. Mana ada perniagaan yang untung sahaja?

3. Rugi/Muflis
Ketiga, takut rugi atau yang mungkin menakutkan lagi adalah muflis. Perniagaan, syarikat atau individu hari ini yang gah dan berjaya, mana mungkin tidak pernah mengalami kejatuhan? Malah Haji Asri juga pernah lingkup ketika usianya 28 tahun, sekelip mata hilang RM7 juta! Sebab pelaburan sahamkah? Tidak, tetapi dalam perniagaannya. Setkan dalam minda kita bahawa kita baru dalam dunia pelaburan ini, ilmu yang kita ada hanyalah sezarah atau mungkin lebih kecil daripada itu. Dengan itu, amatlah penting untuk kita menggali ilmu ini. Belajarlah dengan guru dan platform yang betul.


4. Tiada masa
Keempat, tiada masa. Tidak dinafikan memang kita kekangan masa. Sebagai ibu, pekerja dan pelajar, tiga ‘tittle’ sekaligus, memang masa sangat menyemburui kita. Sebagai bapa dan pekerja juga masa sangat terhad, malah kena overtime untuk cari rezeki lebih. Namun, jika kita punya ilmu pelaburan, kekangan masa bukanlah menjadi masalah. 

5. Haram
Disebabkan kita tidak ambil tahu, kita terus meletakkan hukum pelaburan saham ini adalah HARAM atau mungkin antara kita ada yang mengatakannya SYUBHAH. Tidak dinafikan ada saham yang tidak patuh Syariah di Bursa Malaysia, tapi tahukah anda bahawa sebanyak ~700 daripada 900++ saham adalah patuh Syariah? Bagaimana mengenalinya? Kita akan kupas dalam isu berikutnya.

Bertitik tolak daripada itu, buanglah mentaliti seperti alasan-alasan tersebut. Pelaburan saham adalah lubuk rezeki dan kekayaan. Gunakan duit lebihan atau simpanan dalam melaksanakan pelaburan saham. Jika kekurangan duit, mulakan dengan modal yang rendah. Yang penting, dapatkan dahulu ilmu, belajar dengan pakar, bukan dengan melabur membuta tuli kerana tidak sabar nak kaya cepat. Ingatlah bahawa rezeki datangnya daripada Allah swt. Berusahalah di samping berdoa, bertawakkal dan redha. Niatkan tujuan melabur demi kebaikan. Bukan sekadar untuk kesenangan diri sendiri sahaja. "Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada yang lain."

Ditulis oleh:
Siti Sara binti Rais

Saturday, 2 November 2019

Puisi: Salahkah Teknologi dan Internet?




Dahulu, era 90-an
Aku masih di bangku sekolah
Seringkali disajikan dengan kata-kata berbunyi…
“Maklumat di hujung jari”
“Langit terbuka ,bersediakah kita?”
Entah apakah itu?
Zaman itu, yang kaya saja mampu memiliki telefon bimbit dan komputer…
Dahulu, awal tahun 2000
Internet ‘dial up’ 1515 yang mahal tapi perlahan diperkenalkan TM
Nokia 3310 mula menggegar tanahairku
Zaman itu, ramai orang mampu memilikinya
Hari ini, teknologi itu semakin berkembang canggih
Telefon bimbit menjadi telefon pintar
Komputer menjadi ‘notebook’ malah ‘ultrabook’
Hari ini, semua orang memiliki teknologi ini
Namun, sayang seribu kali sayang
Nilai kemanusiaan semakin hilang
Budi bahasa kian pudar
Fitnah dan tohmahan berleluasa
Benarkah salah teknologi dan internet?
Adakah kita, manusia kini dikuasai oleh teknologi dan internet?
Bukankah manusia yang mencipta teknologi ini?
Mengapa kita pula yang hilang kemanusiaan?


Ditulis oleh;
Siti Sara binti Rais